Dec 16, 2009

Kapal perang jadi tumpuan


ARKIB : 16/12/2009
Kapal perang jadi tumpuan

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

Kapal selam pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman menjadi tarikan utama pameran maritim LIMA 2009 di Langkawi, baru-baru ini.

PAMERAN Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2009 menjadi tarikan terbaru kerana mencipta kelainan dan keistimewaan tersendiri apabila buat pertama kali melibatkan lebih banyak penyertaan sektor maritim berbanding udara.

Daripada segi sejarahnya, LIMA merupakan pameran udara dan maritim yang berkaitan dengan penerbangan komersial dan pertahanan.

Pameran dwitahunan itu dibahagikan pada dua segmen yang berlainan yang mana pameran udara biasanya diadakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkaw, manakala segmen maritim berlangsung di Awana Porto Malai.

LIMA merupakan ilham bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan pameran yang pertama telah diadakan pada tahun 1991.

Pada mulanya, pameran itu bertujuan menjadi platform bagi pesawat-pesawat ringan dan eksperimen untuk diterbangkan bagi mengelak kesesakan trafik udara berdasarkan model EAA AirVenture Oshkosh di Amerika Syarikat (AS).

Kini, LIMA telah berubah dan menjadi satu tempat terbaik bagi pengeluar dan industri yang berkaitan dalam bidang udara (aeroangkasa) dan maritim khususnya pertahanan untuk mempromosikan teknologi terkini kepada para pemimpin awam dan tentera di Malaysia dan negara-negara Asia Pasifik.

Pada tahun ini, LIMA 2009 yang bermula 1 dan berakhir 5 Disember lalu menyaksikan segmen maritim diberi tumpuan kerana mendapat penyertaan lebih besar berbanding udara.

Kehadiran kapal-kapal perang di perairan Langkawi berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung ke pameran maritim.

Sebanyak 99 kapal mengadakan pertunjukan statik maritim di Awana Porto Malai berbanding 71 kapal pada LIMA 2007.

Lebih menarik, orang ramai berpeluang melihat kapal selam pertama Malaysia, KD Tunku Abdul Rahman yang turut berlabuh di Awana Porto Malai.

Seramai 3,506 pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada sektor maritim menyertai LIMA kali ini.

Kesemua mereka melibatkan pegawai dan LLP daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Marin dan kapal-kapal tentera asing.

TLDM menghantar seramai 1,123 pegawai dan LLP, APMM (163), Pasukan Gerak Marin (26) dan kapal asing (1,923).

Ia juga menjadi tumpuan apabila pegawai dan anggota LLP daripada kapal-kapal asing atau tentera laut asing paling ramai menyertai pameran kali ini.

LIMA 2009 menyaksikan TLDM mempamerkan kapal paling banyak iaitu sebanyak 14 buah kapal, APMM (4 buah), Pasukan Gerak Marin (2) dan kapal-kapal asing sebanyak 11 buah.

Kapal-kapal milik TLDM ialah KD Sri Inderasakti, KD Lekiu, KD Tunku Abdul Rahman, KD Lekir, KD Laksamana Tan Pusmah, KD Laksamana Hang Nadim, KD Jerai, KD Ledang, KD Kinabalu, KD Perantau, KD Perak, KD Perdana, KD Gempita dan Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera.

Kehadiran kapal selam pertama negara yang berlabuh di Awana Porto Malai juga menarik perhatian pengunjung termasuk pelawat diraja dan tetamu kenamaan lain.

Bagaimanapun atas alasan keselamatan dan ruang yang sempit, pelawat awam tidak dibenarkan menaiki kapal tersebut.

Namun mereka berpeluang menaiki dan melihat lebih dekat beberapa kapal perang lain antaranya KD Lekiu dan KD Perak.

APMM pula menyaksikan kapalnya iaitu Kapal Maritim (KM) Langkawi, KM Marlin, KM Mulia dan KM Siangin, manakala Pasukan Gerak Marin melalui kapal KPD Tumpat dan KPD Temenggung.

kapal pemusnah

Kapal-kapal asing pula ialah dua kapal dari Pakistan iaitu PNS Khaibar dan PNS Moawin, ROKS Chungmugong Yi Sun Shin dan ROKS Dokdo dari Korea dan BRP Quezon dan BRP Dagupan City dari Filipina.

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) menghantar kapal pemusnah USS Mustin, Singapura pula dengan Formidable, Australia dengan HMAS Glenelg, Thailand (HTMS Songkhla) dan INS Kesari dari India.

Lebih menarik, selain perbarisan kapal-kapal statik, Awana Porto Malai turut dimeriahkan dengan demonstrasi melibatkan laut dan udara yang menarik ribuan pengunjung hadir ke LIMA kali ini.

Pertunjukan itu melibatkan beberapa pasukan dan agensi seperti APMM, Polis Marin, Kastam dan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM.

Kesemuanya menampilkan pelbagai formasi dan gaya pertunjukan yang menarik untuk tontonan orang ramai yang hadir ke Awana Porto Malai.

Antara pertunjukan yang menarik perhatian pengunjung yang hadir untuk menyaksikan pameran segmen maritim di Awana Porto Malai adalah dari pasukan Polis Marin.

Dengan formasi dan demonstrasi yang cukup menarik, Polis Marin bukan sahaja berjaya menggegarkan sekitar Awana Porto Malai malah mengejutkan pengunjung yang hadir ke situ untuk menyaksikan LIMA 2009.

Selain daripada itu, LIMA 2009 juga melibatkan penyertaan Kementerian Pelancongan yang mengadakan pameran makanan, kraftangan serta persembahan kebudayaan.

Ia juga melibatkan persembahan artis jemputan yang diadakan pada setiap malam bermula hari pertama sehingga berakhirnya LIMA 2009.

Kementerian Pelancongan memeriahkan lagi LIMA kali ini dengan penganjuran Karnival Pelancongan LIMA 2009 di Awana Porto Malai dan Kompleks Pekan Rabu, Kuah.


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis