Jun 23, 2009

Kapal Auxilary TLDM BUNGA MAS 5 ke Teluk Aden


Tuesday, 23 June 2009

LUMUT, 22 Jun – Kerjasama dan perkongsian strategik di antara TLDM dan MISC kini direalisasaikan dengan pelayaran Kapal Auxiliary Bunga Mas 5 (BM 5) ke Perairan Teluk Aden pagi ini.Perkongsian strategik ini menggabungkan kekuatan pasukan tetap ATM yang terdiri daripada anggota TLDM, TDM dan TUDM dengan krew BM 5 yang telah diserapkan ke Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM) untuk melaksanakan operasi menjaga keselamatan kapal-kapal dagang Malaysia yang berkepentingan di Perairan Teluk Aden.

Pengoperasian Kapal BM 5 telah melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya di Malaysia, sebuah kapal dagang ditransformasikan menjadi sebuah kapal Auxiliary TLDM bagi merealisasikan hasrat dan impian negara khususnya ATM dalam mengamalkan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) sepertimana yang terkandung dalam dasar Pertahanan Negara.


BM 5 yang bersaiz 132.8 meter panjang dan berkelebaran 22.7 meter berupaya beroperasi dalam kelajuan lebih 17 knot. Kapal Auxiliary ini turut dilengkapi dengan hangar bagi menempatkan pesawat SUPER LYNX dan juga Bot Tempur milik TLDM untuk melaksanakan operasi defensif mahupun ofensif jika diperlukan. Untuk tempoh 3 bulan pertama, BM 5 diletakkan di bawah pemerintahan Komander Ahmad Zaki bin Abdullah PSSSTLDM. Kapal memulakan pelayaran dari Jeti Operasi Pangkalan TLDM Lumut pada jam 8.10 pagi ini bersama 59 anggota kapal yang terdiri daripada 21 orang krew tetap kapal yang telah diserap dan dilatih sebagai PSSTLDM dan diperkuat dengan kehadiran Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL), Krew Pesawat SUPER LYNX milik TLDM, anggota dari Tim Perubatan TDM termasuk anggota penembak tepat dari Tim GGK dan Tim Pasukan Khas Udara (PASKAU).




Siri kejayaan Operasi Fajar yang dilaksanakan oleh TLDM sebelum ini telah terbukti di mana tiada kapal MISC ataupun kapal berkepentingan yang dirampas sepanjang operasi dilaksanakan sejak Ogos 2008. Sehingga kepulangan KD SRI INDERAPURA untuk penugasan kali kedua di Teluk Aden (dijangka tiba di Pangkalan TLDM Lumut tengahari esok - 23 Jun), TLDM telah menugaskan 5 buah kapal TLDM di Perairan Teluk Aden sejak bermulanya misi pada Ogos 2008. Bagi menangani cabaran dan kekangan TLDM serta kos pengoperasian yang tinggi, konsep kerjasama di antara TLDM dan MISC dihasilkan. Perkongsian dengan menyerapkan salah satu kapal MISC ke dalam inventori TLDM bagi melaksanakan penugasan operasi ini, merupakan satu langkah bijak dan penyelesaian jangka panjang terhadap keselamatan dagangan .

Kehadiran kapal Auxiliary yang telah dipertingkatkan keupayaannya ini, diyakini dapat memastikan kepentingan Negara di perairan Teluk Aden tidak diancam. Panglima Armada, Laksamana Madya Dato’ Ahmad Kamarulzaman bin Haji Badaruddin turut hadir menyampaikan amanat beliau kepada krew BM 5 sewaktu mengucapkan selamat belayar dan mengiringi kapal keluar di Perairan Barat Pulau Pangkor pagi tadi. BM 5 dijangka beroperasi di Perairan Teluk Aden selama 3 bulan sehingga penghujung September 2009 ini. Turut mengiring BM 5 di Perairan Pulau Pangkor pagi tadi ialah baru dalam inventori TLDM iaitu KD PERAK.



Related info:



Photo at Eden as extracted from militaryphotos.net

Other Photo at Eden; Paskal convoy


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis