Apr 29, 2009

KD Panglima Hitam lahirkan Paskal berwibawa



EMPAT warga KD Panglima Hitam melakukan demonstrasi tempur tanpa senjata, simbolik dengan perubahan pasukan daripada dua era berbeza iaitu 1980-an (berseluar pendek) dan masa kini (kanan).


MENYEMPURNAKAN perintah pentauliahan dengan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, unit Pasukan Khas Laut (Paskal) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dikenali sebagai Kapal Diraja (KD) Panglima Hitam.

Pembacaan perintah pentauliahan baginda itu telah dilakukan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar pada 15 April lalu di Pangkalan TLDM Lumut.

Menjadi sebahagian daripada tradisi TLDM, mana-mana kapal yang diperoleh untuk memasuki perkhidmatan itu akan ditauliahkan dengan gelaran KD.
Selain itu, gelaran KD juga ditauliahkan oleh baginda kepada unit-unit atau pusat dalam angkatan tentera laut yang banyak berjasa kepada negara dan pasukan.
Contohnya seperti KD Sultan Idris, iaitu pusat melatih para pegawai kadet sebelum memasuki perkhidmatan dan KD Duyong, yang melatih warga TLDM dengan kepakaran menyelam.
Justeru, KD Panglima Hitam muncul sebagai sebuah lagi unit dalam TLDM yang diberikan pentauliahan sedemikian.
Menurut Abdul Aziz, nama tersebut merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan Kepten Yang Dipertua TLDM.
Kata Abdul Aziz, nama Panglima Hitam diambil sempena nama pahlawan Melayu terkenal pada zaman pemerintahan beraja di Tanah Melayu, antaranya di Perak, Selangor dan Johor.
Dari perspektif sejarah yang dikemukakan TLDM, Panglima Hitam mempunyai ilmu mempertahankan diri yang tinggi; budi bahasa dan kesopanan tiada tolok bandingan, serta kesetiaan kepada raja dan pemerintah yang tidak berbelah bahagi.










''Penamaan dan pentauliahan Kapal Diraja ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi kepada warga KD Panglima Hitam," katanya semasa berucap pada majlis pentauliahan tersebut, baru-baru ini.
Bagi pembaca yang baru mengikuti perkembangan Paskal atau KD Panglima Hitam ini, pastinya mereka hanya terbayangkan kejayaan pasukan tersebut dalam membebaskan dua kapal milik MISC Bhd. di perairan Teluk Aden, Somalia.
Sebenarnya, pasukan itu telah melengkapkan sekurang-kurangnya 10 misi di peringkat antarabangsa sama ada secara bersendirian, atau secara kerjasama dengan pasukan-pasukan komando negara luar.
Jadual di sebelah menyenaraikan sebahagian daripada kejayaan berkenaan.
Menyorot sejarah penubuhan pasukan komando laut ini, ia sebenarnya bermula dengan nama Rejimen Keselamatan di Pangkalan TLDM Woodlands, Singapura, yang diwujudkan bagi menjaga keselamatan pangkalan.
Sejajar dengan peredaran zaman dan tugas keselamatan yang semakin kompleks, TLDM pada 1977 telah menghantar kumpulan pertama dari rejimen itu menjalani kursus komando hutan di Pusat Pendidikan Marinir, Tentera Nasional Indonesia, Surabaya.
Tidak cukup dengan itu, warga KD Panglima Hitam kemudian dihantar berlatih di Pusat Latihan Peperangan Khas, Sungai Udang, Melaka.
Selain itu, pasukan ini juga telah dihantar berkursus di luar negara seperti bersama 'Royal Marine Commando United Kingdom' dan pasukan komando laut (sea, air and land forces) SEALs, Amerika Syarikat.
Berbekalkan ilmu peperangan, ketaatan kepada negara serta keberanian yang tidak terhingga, warga KD Panglima Hitam kini boleh berbangga dengan pencapaian pasukan serta pentauliahan tersebut.
Usaha mereka mempertahankan negara serta pencapaian yang diiktiraf sewaktu bertugas di persada antarabangsa membuktikan anggota-anggota Paskal mampu menjayakan sesebuah misi, selari dengan cogan kata TLDM, 'Sedia Berkorban.'
Lebih manis, pentauliahan pasukan ini dilakukan bersempena sambutan Jubli Intan TLDM.


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis