Jan 2, 2005

Komando Paskal dihantar kawal perairan Sabah

PEKAN 2 Dis. - Penghantaran komando Pasukan Khas Laut (Paskal) adalah antara langkah baru yang diambil oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengawal perairan Sabah ekoran pergolakan di selatan Filipina.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penghantaran Paskal itu dibuat kerana pihaknya mendapati tiga kemungkinan yang boleh mengancam keselamatan sekiranya pergolakan di selatan Filipina berlarutan.

Kata beliau, ketiga-tiga kemungkinan itu ialah kebanjiran pelarian dan pendatang tanpa izin, kehadiran kumpulan pemberontak yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di Sabah serta ancaman penculikan terhadap rakyat Malaysia untuk dijadikan tebusan. ``Kita telah menghantar sekumpulan anggota Paskal dan satu kompeni tentera di Sandakan sebagai persediaan sekiranya berlaku ancaman,'' kata Najib.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan untuk anak-anak yatim daerah Pekan di pusat khidmat masyarakat di sini hari ini. Kata Najib, langkah lain ATM dalam usaha mengetatkan kawalan di perairan Sabah turut melibatkan penambahan bilangan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan penggunaan bot tempur BC-90.

Menurut beliau, sekiranya keadaan di Sabah bertambah serius, ATM bersedia untuk menggerakkan dua batalion Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). ``Kalau bertambah serius, kedua-dua batalion ini boleh digerakkan dalam masa beberapa jam sahaja di mana-mana lokasi yang diperlukan,'' jelasnya. Menurut beliau, ketika ini pengawasan ATM di timur Sabah dibahagikan kepada dua sektor iaitu di bahagian utara merupakan tanggungjawab Batalion Kelima RAMD dan selatan diserahkan kepada Batalion Ketiga.

``Selain itu, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah menjalankan rondaan udara pada waktu siang dan malam dengan menggunakan pesawat Witchcraft dan pesawat C-130,'' katanya. Najib menambah, ATM turut mengadakan kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha memastikan keselamatan perairan Sabah terus terjamin.


Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis