Mar 23, 2004

Pangkalan Hadapan Markas operasi Paskal

Oleh Kamaruzaman Mohamad 23 Mac 2004

Jenayah antara sempadan seperti peristiwa penculikan di Pulau Sipadan dan Pandanan, Sabah empat tahun lalu adalah antara beberapa masalah keselamatan yang diberikan perhatian serius oleh kerajaan dan pasukan keselamatan. Pelbagai tindakan telah diambil walaupun ia menelan kos yang besar bagi menangani masalah tersebut. Antaranya ialah melancarkan Ops Pasir dengan menempatkan anggota tentera di pulau-pulau di negeri itu sejak beberapa tahun lalu. Apa yang jelas kerajaan begitu komited untuk melihat kesejahteraan rakyat terjamin dan kedaulatan negara pula terbela setiap masa. Dan langkah yang paling besar ke arah menjamin keselamatan itu ialah dengan menyediakan Pangkalan Hadapan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Semporna, Sabah. Pangkalan itu telah dibuka dengan rasminya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis yang penuh gilang-gemilang Isnin lalu. Pangkalan yang menempatkan Markas Pasukan Khas Laut (Paskal), unit elit dalam TLDM itu adalah untuk menjamin perairan negara tidak mudah dibolosi atau dicerobohi oleh pihak musuh.

Ia sekaligus menunjukkan kerajaan sentiasa memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terjamin. Ini kerana pangkalan berharga RM145 juta ini juga mampu berfungsi sebagai pangkalan logistik hadapan kepada aset TLDM yang beroperasi di Perairan Sabah Timur. Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengawasi Pulau Sipadan dan Ligitan dari sebarang ancaman dan kegiatan lanun di perairan berhampiran. ``Kehadiran pasukan khas laut ini turut berperanan sebagai deterrent atau pencegah rintangan kepada pihak musuh yang cuba melakukan jenayah atau sabotaj,'' kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman ketika berucap di majlis penyerahan pangkalan tersebut.

Terletak di atas kawasan seluas 20 hektar, Pangkalan Hadapan ini merupakan komitmen kerajaan untuk menempatkan Paskal di lokasi yang lebih strategik demi menjaga keselamatan di perairan tersebut. ``Pangkalan ini dapat menjadi pemangkin kepada kemantapan pertahanan negara serta berfungsi sebagai pangkalan logistik hadapan kepada kapal TLDM yang beroperasi di Sabah Timur. ``Ia juga untuk mengawal Pulau Sipadan dan Ligitan dari sebarang ancaman dan kegiatan lanun di perairan berhampiran,'' jelas Panglima TLDM, Laksamana Datuk Seri Mohd. Anwar Mohd. Nor pada majlis itu. Cadangan penubuhan pangkalan tersebut bermula sejak Julai 1996 apabila laporan tinjau dan cadangan konsep telah dimajukan kepada pihak atasan. Hasilnya kawasan seluas 20 hektar di Batu Hilas yang terletak empat kilometer ke Tenggara bandar Semporna telah dipilih. Pemilihan itu berdasarkan kajian fizikal, faktor geografi dan kesesuaian bagi menampung keperluan operasi kapal-kapal TLDM.

Justeru pembinaan pangkalan itu bermula pada 28 Disember 1999. Ia juga merupakan pangkalan keiga di Sabah selain KD Sri Sandakan di Sandakan dan KD Sri Tawau di Tawau. Bagi memantapkan lagi pertahanan negara, sebuah lagi pangkalan TLDM terbesar di Sabah sedang dibina di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu. Pangkalan ini adalah bagi menempatkan dua buah kapal selam pertama milik negara apabila ia siap sepenuhnya menjelang tahun 2007 dan 2008. Sebelum ini, TLDM mempunyai Mar-kas Panglima Armada di Lumut, Perak; Markas Panglima Material Armada juga di Lumut, Markas Panglima Wilayah Laut I di Kuantan, Pahang serta Markas Panglima Wilayah II di Labuan. Menyentuh mengenai peranan dan objektifnya pula, Pangkalan Hadapan ini adalah:

- Mengurangkan dan mencegah aktiviti keganasan maritim serta mencegah kemasukan pendatang tanpa izin.
- Menyediakan kemudahan logistik kepada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi penguatkuasaan maritim.
- Menjimatkan masa dan kos perjalanan, bantuan logistik, penyelenggaraan dan pentadbiran kapal-kapal TLDM.
- Pusat kawalan krisis untuk operasi lawan keganasan maritim bagi menempatkan komponen laut yang terlibat.
- Merangsang pertumbuhan ekonomi setempat dan antarabangsa di samping meningkatkan integrasi nasional dan kebudayaan.
- Meningkat pembangunan industri tempatan.

Bagi memastikan setiap anggota tentera dan keluarga mereka yang tinggal di pangkalan ini pula beberapa kemudahan riadah dan rekreasi telah disediakan. Antaranya ialah kolam renang, gimnasium, kompleks sukan, padang bola dan stadium di samping sebuah surau. Sempena dengan penyerahan pangkalan hadapan itu, Najib yang juga Menteri Pertahanan dianugerahkan beret kehormat Paskal yang dipakaikan oleh Panglima TLDM. Najib yang ditanya mengenai penganugerahan beret itu berkata: `memakai beret ungu ini adalah satu penghormatan tinggi kerana Paskal adalah pasukan elit dan telah menunjukkan tahap kemahiran yang cukup tinggi dan kemampuan sebagai pasukan yang amat berwibawa'.


Bookmark and Share


© UTUSAN MELAYU (M) BERHAD
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis