Oct 1, 2002

Anugerah Tamat Latihan


Oleh HAMDEN RAMLI
JAM baru menunjukkan pukul 10 pagi, namun cuaca di pantai Teluk Senangin, Lumut cukup panas. Panasnya amat memeritkan. Pohon-pohon kelapa yang tumbuh meliar di sepanjang pantai itu tidak banyak membantu, sekurang-kurangnya mengurangkan bahang kepanasan itu.

Pun begitu, rasa gelisah itu sedikit terubat apabila melihat keindahan pantai Teluk Senangin yang masih terpelihara dan bebas daripada sebarang aktiviti pembangunan. Air lautnya yang jernih membiru, yang mengalunkan ombak-ombak kecil serta perkampungan nelayan yang penuh dengan aktiviti menambahkan lagi seri pantai itu. Dalam keasyikan menghayati keindahan semulajadi pantai Teluk Senangin yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pekan Lumut, tiba-tiba lamunan diganggu oleh kelibat sekumpulan manusia yang sedang berlari dari arah hujung pantai.

Makin lama pergerakan kumpulan tersebut yang memakai pakaian celoreng dan lengkap bersenjata semakin jelas kelihatan. Kehadiran mereka menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar pantai itu. Masing-masing tertanya apakah tujuan kumpulan tersebut di pantai itu. Dan tanpa mempedulikan perhatian yang diberikan, kumpulan berkenaan terus berlari di bawah terik panas matahari.

Apabila tiba di satu kawasan mereka berhenti dan terus melucutkan beg masing-masing sambil mengambil tempat menanti arahan seterusnya. Selepas arahan dikeluarkan, identiti mereka jelas iaitu mereka merupakan pelatih Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berjaya menamatkan kursus asas Pasukan Khas Laut (Paskal).

Kursus selama empat bulan yang bermula pada 28 September 2002 lalu disertai oleh 92 pelatih terdiri daripada lima pegawai dan 87 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP). Daripada jumlah itu, hanya 21 pelatih terdiri daripada seorang pegawai dan 20 anggota LLP berjaya melepasi segala ujian dan cabaran getir bagi menamatkan kursus asas tersebut. Kejayaan itu membolehkan mereka diterima masuk menyertai pasukan elit TLDM itu. Sebagai tanda kejayaan itu satu majlis pemakaian beret telah diadakan di pantai tersebut dan disempurnakan oleh Pegawai Memerintah Paskal, Komander Jamaludin Mohd. Saman. Selain gembira pasti wujud kelegaan dalam hati 21 anggota Paskal itu. Apatah lagi bila memikirkan kejayaan itu bukan diraih dengan mudah tetapi menuntut titisan keringat dan pengorbanan yang tinggi.

Selama empat bulan termasuk bulan pemanasan, badan dan mental mereka telah melalui pelbagai ujian yang benar-benar mencabar kekuatan fizikal dan mental mereka. ``Sepanjang empat bulan tidak ada yang tidak sakit, semuanya sakit. Badan sakit, hati sakit tetapi itulah cabaran getir jika ingin menjadi anggota Paskal,'' kata Ketua Pegawai Latih Paskal, Leftenan Mohamad Razak.

Menurutnya, sepanjang empat bulan itu, para pelatih didedahkan kepada pelbagai ujian dan teknik berkaitan tugas pasukan khas itu. Secara keseluruhan, pelatih dikehendaki melepasi lima tahap sebelum layak diterima masuk menyertai Paskal. Sebelum itu, pelatih perlu melalui peringkat asas iaitu ujian ketahanan fizikal bagi menentukan kemampuan pelatih sama ada layak untuk menyertai kursus atau sebaliknya.

Antaranya setiap hari mereka perlu berlari sejauh 7.8 kilometer (km) dalam masa 30 minit, berenang sejauh enam hingga tujuh km dan melalui pelbagai ujian fizikal. `Sampai satu peringkat mereka perlu melalui ujian berenang sejauh 15 km pula,'' katanya.

Dalam tempoh itu juga pelatih akan melalui `minggu neraka' di mana selama tiga hari tiga malam mereka akan diberikan pelbagai latihan tanpa henti selama 24 jam.

``Tidak ada tidur dan tidak ada rehat. Mereka hanya berehat bila sembahyang dan makan,'' katanya lagi.

Sepanjang tempoh itu juga mereka dikenakan bergerak dalam kumpulan 12 orang sambil diwajibkan untuk menjunjung but getah di atas kepala sepanjang masa. Selepas bulan pemanasan, mereka yang layak akan pergi ke tahap pertama atau peringkat kem untuk didedahkan kepada teknik-teknik peperangan hutan, operasi di laut dan ujian fizikal.

``Peringkat ini benar-benar menguji mental pelatih. Mereka akan dikenakan hukuman berat di atas sebarang kesalahan, walaupun haya kesalahan kecil. Tekan tubi seribu kali merupakan hukuman biasa,'' kata Mohamad . Dari tahap kem, mereka akan pergi ke tahap kedua atau peringkat hutan. Cabaran awal ialah melalui ujian berjalan lasak sejauh 48 kilometer bermula pukul 8 malam.

Tahap ketiga atau peringkat paya akan mendedahkan pelatih mempelajari teknik-teknik survival di kawasan paya dengan hanya berbekalkan sebilah parang, sebatang tombak dan separuh tempurung kelapa.

Tahap seterusnya yang merangkumi operasi laut dan daratan mengkhendaki pelatih berenang sejauh 3 hingga 15 km setiap hari untuk membiasakan diri dengan teknik renang tempur.

Pada tahap lima atau dikenali pelarian dan penyusupan pelatih akan melaksanakan teknik menyusup ke kawasan musuh dengan pelbagai muslihat dan penyamaran tanpa dikesan oleh musuh.

``Hanya yang cekal dan keras hati sanggup melalui ujian ini,'' katanya.

Sementara itu, Jamaludin turut mengingatkan anggota Paskal supaya sentiasa menjaga disiplin diri dan menjauhi amalan-amalan yang ditegah oleh agama termasuk mengamal ajaran ilmu hitam. ``Usaha dan persiapan diri yang paling penting. Saya tidak akan berkompromi dan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap anggota yang terbukti melakukan kesalahan itu,'' katanya. Menurut Jamaludin, meskipun masalah itu hanya melibatkan segelintir anggota, namun ia perlu ditangani dengan serius. Ini kerana, katanya, masalah tersebut boleh menjejaskan kerjaya individu dan keberkesanan pasukan secara keseluruhan.


Bookmark and Share

Feb 11, 2002

Lt Komander Anuar, a PASKAL hero at UN mission in Angola (UNIVEM II) 1998

Artikel Asal


Oleh AKMAR HISHAM MOKHLES
``Biarpun bertugas tanpa senjata tetapi entah macam mana saya nekad mencabar kumpulan pemberontak bersenjata yang mahu membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

``Mungkin naluri kemanusiaan saya tidak membenarkan saya menyaksikan sahaja kekejaman berlaku di depan mata,'' kata Leftenan Komander Anuar Alias, 40.

Beliau merujuk kepada satu insiden semasa bertugas selama setahun sebagai Pegawai Pemerhati, Misi Pemeriksaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Angola (UNIVEM II) pada tahun 1998.

Sepanjang berada di sana, banyak pengalaman yang ditimba termasuk terbabit dalam beberapa insiden yang membahayakan nyawanya.

Satu daripada peristiwa yang tidak dapat dilupakan Anuar ialah tindakan lima lelaki daripada kumpulan pemberontak FAA yang menyerang hendap serta merompak sebuah trak yang berada di depan kenderaannya ketika sedang menyiasat keadaan laluan Huambo-Alto Alma pada awal bulan November 1998. Waktu itu, beliau bersama seorang pemerhati dari Portugal dan diiringi dua tentera pengaman Namibia sedang meronda jalan berkenaan bagi memastikan ia selamat dilalui oleh orang awam.

Baru 10 kilometer meninggalkan Huambo, tiba-tiba pasukannya dikejutkan dengan bunyi dua das tembakan. Serentak dengan itu, beliau melihat trak yang berada 100 meter di depannya mula bergerak tidak tentu arah dan kemudiannya terbabas di tebing jalan diikuti kemunculan lima orang lelaki dari celah-celah semak sambil melepaskan tembakan secara membabi buta.

Tindakan mereka menyebabkan penumpang trak itu bertempiaran lari ke kawasan belukar manakala beberapa yang lain bersembunyi di belakang kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Anuar. Dalam keadaan kelam-kabut itu, pemberontak berkenaan kemudiannya menaiki belakang trak dan menembak dua orang wanita yang tidak sempat melarikan diri sambil memukul beberapa orang yang lain. Mereka juga mengambil beberapa guni sekoi dan gandum. Melihat keadaan cemas tersebut, Anuar yang sebelum itu hanya mendiamkan diri selepas dinasihatkan oleh rakannya mula hilang sabar.

Beliau lantas keluar dari kenderaan dan menjerit `Hei You!' sekuat hatinya, menyebabkan kelima-lima lelaki itu terkejut dan melarikan diri tanpa sempat membawa guni makanan yang dirompak. ``Ketika menyergah kumpulan pemberontak itu, rasa bimbang tetap ada dalam diri saya kerana mereka bersenjata dan saya tidak.

``Tetapi tindakan kejam mereka menyebabkan semangat saya naik secara tiba-tiba sehinggakan saya berani bertindak,'' katanya yang ketika itu menjadi Timbalan Komander Pasukan di Bailundo dalam Wilayah Tengah Angola. Selepas melihat mereka melarikan diri, Anuar memberanikan diri menuju seorang diri ke arah trak untuk meninjau keadaan.

Di situ, beliau mendapati pemandu trak itu telah mati selepas terkena tembakan. Di belakang trak pula, beliau melihat dua wanita mengerang kesakitan di samping mendengar suara kanak-kanak yang sedang menangis. Pada masa yang sama, beliau turut ternampak kelima-lima pemberontak berkenaan sedang bersembunyi di dalam semak tidak jauh dari trak sedang memerhatikan tindak-tanduknya.

``Waktu itu saya mengambil sikap berhati-hati kerana bimbang mereka akan menyerang saya secara tiba-tiba pula. ``Sebagai langkah keselamatan, saya meminta dua tentera Namibia memberi tembakan perlindungan jika mereka menyerang saya,'' katanya yang sebelum itu pernah ditugaskan di Somalia pada tahun 1995.

Tiba di hospital, tanpa diduga Datuk Bandar Huambo telah sedia menanti. Beliau mengucapkan terima kasih dan lantas memeluk Anuar walaupun ketika itu bajunya berlumuran darah. Menurutnya itulah pertama kali tentera PBB menyelamatkan nyawa orang awam yang selalu menjadi sasaran kumpulan pemberontak.

Selepas menyerahkan kedua-dua wanita dan kanak-kanak itu, tiba-tiba Anuar teringat semula suara yang didengarnya di celah-celah guni semasa insiden serangan tersebut. Beliau lantas mengajak tiga anggota pasukannya untuk kembali semula ke trak tersebut mencari kalau-kalau ada lagi mangsa. Malangnya, ketiga-tiga mereka enggan turut serta kerana bimbang diserang hendap oleh pemberontak FAA.

Lantaran itu, Anuar nekad untuk pergi seorang diri biarpun tanpa senjata. Tiba di sana, Anuar menyelongkar longgokan guni dan mendapati ada seorang lagi wanita yang cedera ditembak dan membawanya ke hospital.

``Apa yang saya tahu keempat-empat mereka akhirnya selamat walaupun ketika dibawa ke hospital keadaan mereka agak kritikal dan lemah kerana kehilangan banyak darah,'' kata anak kelahiran Puchong, Selangor ini. Selain pengalaman tersebut, Anuar turut menempuh beberapa dugaan lain sepanjang berada di Angola dari 21 Januari 1998 hingga 17 Januari 1999.

Enam bulan sebelum itu, iaitu pada 30 April 1998, beliau pernah ditugaskan sebagai ketua kumpulan ronda untuk memeriksa keadaan keselamatan di N'gove. Memandangkan pekan itu baru sahaja seminggu diserang oleh pemberontak, pasukannya diiringi dua buah kereta perisai jenis APC milik tentera Namibia. Setiba di persimpangan N'gove, kereta perisai yang berada di belakang telah terlanggar periuk api anti kereta kebal.

Menyedari kejadian itu, Anuar mengambil risiko dengan turun dari kenderaan dan memeriksa keadaan sekeliling. Dalam kejadian tersebut, dua tentera Namibia turut cedera. Mereka kemudiannya dihantar ke hospital manakala Anuar dan anggota yang lain meneruskan misi mereka sehingga selesai.

Beberapa hari sebelum beliau menyelamatkan empat mangsa serangan pemberontak FAA, Anuar turut berkesempatan menyaksikan sendiri serangan oleh pihak ANP ke atas Kampung Lomue. Sebagai ketua kumpulan ronda, beliau telah memberanikan dirinya untuk memerhatikan serangan itu dari jarak 200 meter.

Tindakannya itu, tanpa diduga telah mematahkan tujuan asal penyerang-penyerang dan sekali gus membolehkan orang kampung mengambil perlindungan dari kedudukan beliau memerhati sebelum berundur ke tempat lain.

Pada akhir bulan November pula, pasukannya pernah terperangkap dalam kejadian tembak-menembak di satu kawasan serang hendap tentera Unita berhampiran pekan Atlo Hama. Pada masa itu seramai 50 anggota tentera Unita sedang bertempur dengan 17 anggota ANP dan tiga pemberontak FAA. ``Entah macam mana pemberontak tersebut kemudiannya lari menuju ke arah konvoi kami dan merayu perlindungan.

``Untuk mengelakkan ada nyawa terkorban, kami memuatkan kesemua mereka dalam dua buah kereta perisai dan menurunkan mereka di tempat yang lebih selamat tidak jauh dari situ,'' ujarnya. Kesemua peristiwa tersebut telah membuktikan tentang keberanian, dedikasi serta keupayaan Anuar mengawal keadaan krisis tanpa panik. Malah bapa kepada enam anak ini telah berjaya menyempurnakan segala tugasnya biarpun adakalanya dalam situasi yang amat berbahaya demi keamanan sejagat.

Di atas keberanian luar biasa, kecekalan serta kebolehannya itu maka Yang di-Pertuan Agong, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berkenan menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Ketua Skuadron Tempur Pasukan Khas Laut (Paskal) ini pada 2 Jun 2000. Penganugerahan itu, memberi makna yang cukup besar kepadanya serta menjadi kebanggaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sendiri memandangkan Anuar adalah pegawai tentera laut tunggal yang menerima PGB sehingga kini.

``Walaupun telah menerima PGB, itu tidak bermakna saya hebat. Saya masih mempunyai banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi memastikan saya dapat memberi sumbangan terbaik kepada TLDM dan negara,'' katanya merendah diri.


Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis